KUALA LUMPUR, 26 Mac – Penyanyi popular Nabila Razali kembali menceriakan suasana Aidilfitri dengan melancarkan lagu raya terbaharunya, ‘Raya Mana’ versi Kelantan, bersama penyanyi Den Manjo.
Menurut Warner Music Malaysia, versi istimewa itu dihasilkan bagi memenuhi permintaan peminat yang ingin mendengar lagu tersebut dalam loghat Pantai Timur.
Nabila, atau lebih dikenali sebagai Bella, mengakui berasa sedikit gementar untuk menyanyikan lagu dalam loghat Kelantan kerana tidak begitu fasih, meskipun sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan suami yang berasal dari negeri itu.
“Bagi siapa yang menanti lagu ini dalam versi Kelantan bersama Den Manjo, permintaan anda sudah saya tunaikan. Sejujurnya, saya agak gementar kerana loghat Kelantan bukan bahasa pertama saya.
“Sampaikan sudah menimang cahaya mata pun saya masih belum fasih. Tapi tidak mengapa, mula-mula menyanyi dahulu, lepas itu mana tahu boleh fasih,” katanya.
Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi rakaman Gempak Jam Session Raya yang berlangsung di Sora Studio baru-baru ini.
Bagi memastikan sebutan dalam nyanyiannya tepat, Nabila turut mendapatkan bimbingan daripada Den Manjo mengenai cara percakapan masyarakat Kelantan.
“Saya tanya sama ada sebutan saya betul atau tidak sebab takut salah. Den pun banyak berkongsi cara pertuturan orang Kelantan. Insya-Allah, saya harap orang Kelantan tidak marah kalau saya tersalah sebut,” katanya lagi.
Tahun lalu, lagu ‘Raya Mana’ tular di media sosial dan menjadi antara lagu raya yang trending.
Malah, Nabila turut menarik perhatian ramai apabila mempersembahkan lagu tersebut dalam bahasa isyarat, menjadikannya lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Dengan pelancaran ‘Raya Mana’ versi Kelantan, Nabila berharap lagu tersebut dapat menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.