fb fb fb fb fb

Pelakon filem “Extreme Job” Song Young-Kyu ditemukan meninggal dunia

Pelakon Korea Selatan Song Young-kyu yang membintangi filem komedi “Extreme Job”

YONGIN (Korea Selatan), 4 Ogos - Pelakon Korea Selatan Song Young-kyu yang membintangi filem komedi “Extreme Job” pada 2019 ditemukan meninggal dunia pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.

Song ditemukan oleh seorang kenalannya di dalam sebuah kereta di sebuah kompleks kediaman di Yongin, yang terletak di selatan Seoul, sekitar 8 pagi, menurut polis.

Polis berkata tiada sebarang unsur jenayah dan nota bunuh diri ditemukan.

Pelakon itu baru-baru ini terpalit dengan kontroversi selepas ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di Yongin pada Jun.

Dilahirkan pada 1970, Song memulakan kerjaya lakonannya menerusi sebuah pementasan muzikal kanak-kanak pada 1994.

Selepas kejayaan watak pembantunya yang diingati dalam filem komedi aksi popular Extreme Job, beliau telah muncul dalam pelbagai drama, filem dan pementasan teater. Antara karya terkini lakonannya termasuk siri asal Korea Narco-Saints (2022) terbitan Netflix dan Big Bet (2022) terbitan Disney+.

Ketika pemergiannya, beliau sedang membintangi drama The Defects terbitan ENA dan Try siaran SBS TV, yang kedua-duanya sedang ditayangkan.

Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.- BERNAMA-YONHAP

GRACE AISYAH KEDAYAN