KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Atas permintaan ramai kumpulan muzik tersohor dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) yang dianggotai oleh Jascha Richter (vokalis), Mikkel Lentz (pemain gitar) dan Kare Wanscher (pemain dram), bakal mengadakan konsert di Malaysia pada awal November ini.
MMIC Entertainment Group selaku penganjur dalam kenyataan memaklumkan konsert bertajuk Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia itu akan berlangsung pada 9 November di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Sejak penubuhan kumpulan itu pada tahun 1988, tidak dinafikan Michael Learns To Rock telah menyentuh hati jutaan peminat dari pelbagai generasi di seluruh dunia menerusi lagu-lagu malar segar mereka.
Antara lagu ikonik yang terus menjadi kegemaran ramai termasuklah “Take Me To Your Heart”, “Paint My Love”, “25 Minutes”, “Sleeping Child” dan “That’s Why (You Go Away)”.
Lagu-lagu tersebut terus menjadi siulan dan antara penyebab utama konsert mereka sentiasa dipenuhi peminat setia di mana sahaja mereka mengadakan persembahan.
Kumpulan itu telah mengadakan hampir 1,000 persembahan secara langsung di seluruh dunia, selain pelbagai anugerah emas dan platinum, lebih 11 juta album terjual serta 1.5 bilion penstriman.
Ini membuktikan MLTR kekal relevan dan terus mencipta sejarah sebagai salah satu kumpulan paling lama bertahan dalam industri muzik antarabangsa.