KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyambut baik penekanan ekonomi jingga dalam dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai komitmen Kerajaan MADANI mentransformasi industri kreatif negara ke peringkat global.
FINAS berkata pihaknya mendukung penuh pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengangkat tema “Melakar Semula Pembangunan”, sebagai kerangka pembangunan nasional baharu.
“Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, FINAS mendukung kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang menjurus kepada pengukuhan ekosistem industri kreatif negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Antara langkah yang akan diteruskan termasuk penghasilan kandungan bernilai komersial tinggi untuk pasaran eksport, pembangunan harta intelek (IP) tempatan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK), dan insentif Film in Malaysia Incentive (FIMI).
FINAS juga menekankan kepentingan pembangunan bakat melalui program pensijilan dan pentauliahan, selaras dengan keperluan industri dan teknologi semasa.
“FINAS turut memberi penekanan terhadap pemantapan rantaian nilai industri daripada praproduksi, produksi, pascaproduksi sehingga ke pengedaran dan pengewangan kandungan,” tambah kenyataan itu.
Sektor animasi turut jadi tumpuan
FINAS memaklumkan bahawa sektor animasi akan menerima perhatian khusus di bawah RMK13, termasuk melalui pelaksanaan DKK untuk menyokong projek-projek IP animasi tempatan yang berpotensi tinggi.
Insentif FIMI juga dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam kandungan animasi tempatan dan antarabangsa.
“Proses pelesenan penerbitan filem cereka animasi untuk tayangan di pawagam dan televisyen juga akan ditambah baik bagi memastikan pematuhan standard serta akses pasaran yang lebih teratur,” kata FINAS.
Selaras dengan visi RMK13, FINAS menegaskan akan terus memperkukuh dasar, program dan inisiatif dengan tumpuan kepada penciptaan pekerjaan, peningkatan nilai IP tempatan, serta meningkatkan daya saing industri kreatif di rantau ini dan peringkat antarabangsa.