fb fb fb fb fb

Nostalgia Rockestra 90-an kembalikan nostalgia lagu ikonik

Sidang media Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90-an

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra 90-an pada 27 September depan bakal menggabungkan muzik rock dan orkestra dengan himpunan lagu-lagu nostalgia.

Konsert yang akan diadakan di Shah Alam itu menampilkan barisan penyanyi-penyanyi lama antaranya Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success).

Kesemuanya bakal mempersembahkan lagu-lagu popular yang kekal menjadi siulan pelbagai generasi.

Menurut wakil 211 Event Empire, Intan Madura, barisan artis konsert itu antara yang paling popular pada era masing-masing.

Konsert itu diadakan sebagai penghargaan buat mereka yang telah lama bergiat dalam industri seni.

"Objektif utama kami mengadakan konsert ini sebenarnya adalah untuk mengangkat kembali nama mereka yang pernah menjadi idola dan artis popular di Malaysia.

"Jadi kami mengambil kesempatan ini untuk memberi ruang dan membawa mereka dalam industri supaya lebih menyerlah. Kami juga menggabungkan mereka dengan orkestra untuk memberikan tarikan lebih besar pada konsert tersebut," katanya.

Ia juga disokong dengan putaran lagu daripada penyanyi terbabit di media sosial semakin menambat hati golongan masa kini dan semakin popular.

"Sambutan peminat sangat hebat menerusi lagu-laghu yang sering digunakan sebagai muzik latar dan sebagainya. Kebanyakan mereka mungkin hanya kenal lagu, tetapi tidak kenal dengan penyanyi.

"Dengan sistem pengadun semula lagu popular tersebut, ramai pengguna media sosial hanya tahu lagu yang telah diberikan nafas baharu. Jadi, kami ambil kesempatan ini memperkenalkan semula artis-artis asal kepada generasi muda," jelasnya.

Bagi penyanyi kumpulan Utopia, Afee menyifatkan konsert itu merupakan peluang sangat bermakna.

"Terima kasih kerna memberikan peluang kepada penyanyi 90-an berada dalam satu pentas. Lagu-lagu 35 tahun lalu masih didengari, bukan saja generasi kami tetapi juga anak-anak muda.

"Saya rasa dihargai sebab lagu-lagu kami tetap segar walaupun ramai kawan-kawan seangkatan sudah tiada. Inilah masa untuk semua peminat berhibur dengan karya yang pernah mengangkat kami dalam industri seni muzik tempatan," katanya.

Sementara itu, penyanyi kumpulan Meditasi, Burn, menyatakan keterujaannya apabila berpeluang membuat persembahan diiringi kumpulan orkestra.

"Saya tak pernah lagi membuat persembahan bersama orkestra. Biasanya hanya dengan kumpulan Meditasi sahaja. Jadi bila ada tawaran hebat macam ni, saya tak lepaskan.

"Semestinya saya akan bawa lagu dari album pertama tahun 1989 Biar Pedih Kasih Memanjang ciptaan Datuk M. Nasir dengan lirik Datuk Zurain, dan lagu kedua ciptaan saya sendiri Demi Rindu Kita yang diterbitkan pada 1994," ujarnya.

Bagi penyanyi kumpulan Scan, Azan, pengalaman bergabung dengan orkestra adalah sesuatu yang istimewa.

"Kalau nak ikutkan, semua artis ingin mempunyai peluang dengan merasai pengalaman besar. Apabila muzik diiringi orkestra ia akan memberikan rasa baharu.

"Kita tak pernah bayangkan macam mana lagu Kau Dipaksa Aku Terpaksa atau Di Sana Mawar Di Sini Penawar diiringi orkestra. Jadi nanti kita akan bagi sesuatu yang istimewa," katanya.

Tiket dijual secara dalam talian pada harga bermula RM188 hingga RM1,888, manakala tontonan secara langsung ditawarkan pada harga RM20.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI