fb fb fb fb fb

Noryn Aziz angkat keindahan Bahasa Melayu menerusi 'Kaki Kiriku'

Noryn akan mengadakan persembahan eksklusif 'This Is Noryn Aziz' pada 19 September nanti.

KUALA LUMPUR, 7 September - Penyanyi versatil Noryn Aziz kembali dengan 'single' terbaharu berjudul 'Kaki Kiriku', ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng dengan lirik oleh Reza Salleh. Lagu unik ini menampilkan gabungan jazz klasik, joget tradisional dan sentuhan Parisian jazz.

Menurut Noryn, karya tersebut membawa misi memperkasakan bahasa dan budaya melalui muzik.

“Single ini bukan sekadar lagu, tetapi sebuah misi kecil untuk mengangkat keindahan Bahasa Melayu dan warisan budaya melalui muzik,” katanya.

Lagu Kaki Kiriku turut mengetengahkan permainan lidah Melayu klasik dengan bait lirik “Kakakku kata kuku kakiku kaku, ku kikis-kikis kuku kaki kiriku…”.

“Ramai yang tersasul bila cuba sebut lirik ini dan itu memang yang saya mahu. Permainan lidah ini bukan sekadar hiburan, tetapi penghargaan kepada Bahasa Melayu. Saya mahu generasi baharu tahu bahawa bahasa kita menyeronokkan, penuh jenaka dan ritma,” jelasnya.

Beliau berkata elemen tersebut memberi keaslian dan menjadikan lagu mudah diingati serta mesra khalayak.

Selain pelancaran single, Noryn akan mengadakan persembahan eksklusif 'This Is Noryn Aziz' pada 19 September di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur. Showcase itu akan memuatkan campuran jazz, soul, R&B serta unsur budaya Malaysia, sambil menyoroti perjalanan seninya daripada karya terdahulu hingga Kaki Kiriku.

Persembahan akan dibahagikan kepada dua segmen iaitu Jazz & Soul pada babak pertama dan R&B Celebration pada babak kedua.

TUN JULIA MOHD TAHIR