KUALA LUMPUR, 7 September - Dua kugiran legenda tanah air, Search dan XPDC, bakal bergabung dalam satu pentas epik menerusi Konsert Fenomena Samurai yang dijadual berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching pada 13 Disember ini.
XPDC yang dianggotai Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu, bersama Search yang kini diterajui Din dan Kid, diyakini akan menghadirkan persembahan penuh tenaga, nostalgia dan semangat perjuangan muzik rock sebenar.
Menurut penganjur, Seri Simfoni Sdn Bhd dengan kerjasama Bintang Batu Event, konsert ini dirancang teliti bagi mengekalkan kredibiliti kedua-dua kumpulan.
“Siapa yang tidak kenal Search, siapa yang tidak kenal XPDC? Mereka gergasi muzik tanah air. Muzik dan penampilan mereka sejak era 80-an kekal relevan, malah peminatnya merentas generasi.
“Apabila kami berbincang mengenai Konsert Fenomena Samurai, fokus utama ialah kualiti. Kami tidak akan berkompromi mengenai kredibiliti Search dan XPDC. Konsert ini mempunyai piawaian tersendiri daripada pemilihan lagu, kualiti bunyi hingga keseluruhan persembahan,” kata wakil penganjur, Ikhram atau Atom.
Din, mewakili Search, menegaskan konsert itu bukan sekadar ruang mendengar lagu popular, sebaliknya penghargaan buat peminat yang sentiasa setia bersama perjalanan penuh cabaran kedua-dua kugiran.
“Konsert Fenomena Samurai bukan hanya konsert untuk melihat dan mendengar Search serta XPDC. Kami percaya mereka yang hadir sudah sebati dengan kecintaan dan perjuangan kami,” katanya.
Tiket boleh didapati di fenomenasamurai.ubertickets.asia dengan harga ‘Early Bird’ antara RM90 hingga RM250, manakala tiket biasa berharga RM129 hingga RM359 sehingga hari konsert.