VENICE, 7 September - Sebuah karya mengenai hubungan keluarga bermasalah arahan pengarah veteran Amerika Syarikat, Jim Jarmusch, merangkul anugerah utama pada Festival Filem Venice ke-82 pada Sabtu, manakala sebuah dokudrama mengenai perang Gaza meraih tempat kedua.
Filem Jarmusch berjudul 'Father Mother Sister Brother' yang dibintangi Cate Blanchett, Adam Driver dan Tom Waits menerima pujian kerana mengetengahkan humor dalam menggambarkan rasa kekok dan rasa bersalah dalam keluarga.
Pengarah Broken Flowers itu menulis skrip berdasarkan tiga pertemuan keluarga di New York, Dublin dan Paris, dan menggambarkannya sebagai 'sejenis filem antiaksi'.
"Terima kasih kerana menghargai filem kami yang sederhana ini," kata Jarmusch, 72, ketika menyampaikan ucapan kemenangannya.
Juri festival yang diketuai pengarah Amerika Syarikat, Alexander Payne, bagaimanapun tidak menganugerahkan Golden Lion kepada filem 'The Voice of Hind Rajab'.
Sebaliknya, filem yang menyayat hati mengenai seorang kanak-kanak perempuan Palestin berusia lima tahun yang terbunuh ditembak tentera Israel tahun lalu itu meraih hadiah juri utama.
Filem arahan pengarah dari Perancis-Tunisia, Kaouther Ben Hania itu mengisahkan semula detik tragis Hind Rajab Hamada yang terperangkap di dalam kereta ketika melarikan diri bersama keluarganya sebelum ditembak.
Karya tersebut menjadi bualan utama pada festival dan mendapat tepukan gemuruh selama 23 minit ketika tayangan perdana pada Rabu.
"Hind Rajab bukan kisahnya seorang. Ia kisah tragis seluruh rakyat yang berdepan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel yang bertindak tanpa hukuman," kata Ben Hania ketika menerima anugerah.
Antara penerbit eksekutif filem ini termasuk Brad Pitt, Joaquin Phoenix serta pengarah pemenang Oscar, Jonathan Glazer (The Zone of Interest) dan Alfonso Cuaron (Roma).
Jarmusch turut menzahirkan solidariti terhadap Gaza dengan memakai lencana bertulis 'Enough' semasa majlis anugerah.
Pelakon Terbaik
Dalam kategori lain, pelakon China Xin Zhilei memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem 'The Sun Rises on Us All' arahan Cai Shangjun, manakala pelakon Itali Toni Servillo meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui lakonannya dalam filem 'La Grazia' arahan Paolo Sorrentino.
Servillo turut menyuarakan sokongan terhadap aktivis yang cuba memecahkan kepungan Israel di Gaza, menyifatkan usaha mereka sebagai "tanda kemanusiaan di tanah yang maruah manusianya dipijak setiap hari."
Sementara itu, filem 'En el Camino' arahan David Pablos dari Mexico memenangi anugerah utama dalam kategori Orizzonti (Horizons).
Festival Filem Venice terus menjadi platform utama pelancaran filem antarabangsa, termasuk yang berpotensi meraih Anugerah Oscar.- AFP