fb fb fb fb fb

RTM angkat "Srikandi" sebagai platform latihan, perkenal teknologi baharu

Supertele "Srikandi" bakal bersiaran pada 15 September ini, pukul 9.00 malam di TV1 dan RTMKlik

KUALA LUMPUR, 8 September - Penerbitan supertele "Srikandi" disifatkan sebagai langkah penting RTM dalam memperkukuh kemahiran warga kerjanya, di samping memperkenalkan teknologi baharu serta memberi pengalaman penonton yang berbeza.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, projek tersebut dijadikan platform latihan bagi pasukan RTM untuk meneroka kaedah penerbitan moden dengan bimbingan tenaga berpengalaman.

“Apa yang penting ialah ilmu mereka meningkat. Mereka belajar perkara baharu, guna teknologi baharu dengan pendekatan yang sangat berbeza. Itu yang paling utama,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana "Srikandi" di GSC, The Starling, Damansara Utama, hari ini.

Kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membolehkan skrip dihasilkan menggunakan bahasa yang tepat, manakala sokongan Kerajaan Negeri Pahang membuka ruang penggambaran di pelbagai lokasi menarik di negeri tersebut.

Datuk Suhaimi turut memaklumkan "Srikandi" akan diketengahkan ke Mongolia sempena Persidangan Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) minggu hadapan sebagai antara projek inovatif RTM.

Supertele "Srikandi" bakal bersiaran pada 15 September ini, pukul 9.00 malam di TV1 dan RTMKlik, dengan menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Farali Khan, Amalina Arham, Fauziah Latiff, Luqman Hafidz, Catriona Ross, Che Kem, Khatijah Tan, Datuk Fauziah Nawi, Hafidzudin Fazil, Mubarak Majid, Fendy Bakry dan Yusran Hashim.

0809 HBN KP RTM SRIKANDI
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE