fb fb fb fb fb

Nora akan adakan konsert solo pertama Disember ini

Datuk Nora Ariffin

KUALA LUMPUR, 11 September - Sempena 30 tahun penglibatan dalam industri muzik tanah air Datuk Nora Ariffin akan mengadakan konsert solo pada 18 Disember ini di Stage 1 Theare, PJ Pac, 1 Utama E, Petaling Jaya pukul 8.30 malam.

Konsert Hanya Satu : Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) dibawakan khas syarikat Nora sendiri, Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures.

Nora dalam satu kenyataan berkata, beliau bersyukur kerana impiannya mengadakan konsert solo, tercapai.

"Konsert ini adalah khas buat peminat-peminat setia saya. Merekalah yang sentiasa menyokong saya selama ini, ini adalah hadiah dan penghargaan saya buat anda semua,"

"Ia juga adalah detik penting dalam kerjaya muzik saya. Jadi, saya akan pastikan saya memberi yang terbaik," kata Nora dalam satu kenyataan.

Sementara itu Pengurus Projek dan Penerbit konsert Alita Aris berkata, pihaknya mahukan konsert yang eksklusif dan ‘'intimate' khas buat peminat setia dan penyokong tegar Nora selama 30 tahun ini.

Dalam konsert dua jam itu, Nora akan menyanyikan sebanyak 17 lagu popular dan malar segar daripada 18 albumnya.

Antaranya ialah lagu Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir, Jentayu dan banyak lagi.

Alita berkata, antara yang istimewa dalam konsert itu ialah segmen khas Tribute to Johan Nawawi sebagai memberi penghormatan kepada Allahyarham suami Nora iaitu Johan Nawawi.

"Selain sebagai komposer, penerbit dan penggubah muzik dihormati di tanah air, arwah Johan juga individu yang memainkan peranan penting dan tunggak kejayaan dalam kerjaya Nora sebagai penyanyi," katanya.

Dalam pada itu menurut Alita, konsert tersebut akan mendapat sentuhan individu berpengalaman seperti Jennifer Thompson yang akan bertindak sebagai Pengarah Persembahan dan Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik.

TETITIA YUSOFF