KOTA KINABALU, 1 Julai - Musim kedua Anugerah Lagu SabahVfm kembali dengan menampilkan lagu terbaik daripada empat etnik utama di Sabah.
Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Cyril Simon berkata jumlah hadiah keseluruhan bagi musim ini meningkat kepada RM48,000, berbanding RM27,500 yang ditawarkan pada musim sebelumnya.
Program dwitahunan anjuran stesen radio SabahVfm itu akan berlangsung pada 10 Julai ini, bertempat di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Penampang.
Ia menggabungkan carta lagu dari empat etnik utama Sabah, iaitu Kadazan, Bajau, Murut dan Dusun.
Sebanyak 12 lagu terbaik telah dipilih untuk bertanding dalam pelbagai kategori, termasuk Juara Anugerah Lagu SabahVfm 2025, Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan Penulis Lirik Terbaik.
"Objektif utama Anugerah Lagu SabahVfm adalah mempromosi hasil rancangan terbitan SabahVfm kepada masyarakat, memberi galakan kepada pengiat seni untuk terbitkan lebih banyak lagu baru dalam bahasa etnik Sabah, " katanya dalam sidang media di Hotel Ming Garden, di sini.
Anugerah Lagu SabahVfm itu akan diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.