KUALA LUMPUR, 2 Julai - Konsert eksklusif Janji With Dayang menerima sambutan luar biasa daripada peminatnya.
Semua kategori tiket habis terjual dalam masa yang singkat sejurus jualan dibuka kepada umum pada pukul 12.00 tengah hari tadi.
Konsert yang menampilkan penyanyi tersohor negara, Dayang Nurfaizah, dijadual berlangsung di dua lokasi utama iaitu Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Persembahan tersebut dijanjikan sarat dengan emosi dan magis tersendiri menerusi vokal hebat penyanyi berkenaan.
Penganjur konsert Usanita Entertainment dan Mask Team, meluahkan rasa terharu atas sambutan luar biasa daripada para peminat.
“Kami amat teruja melihat sambutan luar biasa ini dan sedang merancang untuk menambah tiket persembahan bagi kedua-dua lokasi. Nantikan pengumuman lanjut di media sosial,” menurut kenyataan.
Peminat yang terlepas peluang membeli tiket disarankan mengikuti laman sosial rasmi penganjur bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penambahan tiket.