KUALA LUMPUR, 3 Julai –Sempena ulang tahun kumpulan idola KLP48 bakal menganjurkan konsert istimewa; dijadualkan pada 16 Ogos ini, di Zepp Kuala Lumpur. Kumpulan yang semakin meningkat naik dari Kuala Lumpur itu, akan mempersembahkan konsert istimewa mereka bertajuk “〜BLOOM〜”
Konsert anjuran 48 Entertainment Sdn. Bhd. itu bakal menampilkan persembahan bertenaga serta tarian koreografi menarik daripada barisan ahli KLP48 yang penuh semangat dan berbakat. Konsert itu juga menjadi simbolik kepada semangat kerjasama dan persahabatan antara budaya dalam dunia idola.
Ditubuhkan pada tahun 2024 sebagai sebahagian daripada rangkaian global AKB48 dari Jepun, KLP48 merupakan cawangan terbaru dalam pengembangan konsep unik “idola yang anda boleh temui”; diasaskan oleh penerbit tersohor Yasushi Akimoto.
AKB48 telah mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai Kumpulan Pop Terbesar di Dunia, kini memberi laluan kepada KLP48 untuk mewarisi dan meneruskan legasi tersebut dengan sentuhan unik berbilang budaya.
KLP48 terdiri daripada 13 ahli, merangkumi 7 warga Malaysia, 4 dari Jepun, 1 dari Indonesia, dan 1 dari Hong Kong. Sejak penubuhan, KLP48 berjaya menarik perhatian bukan sahaja di Malaysia, malah turut mendapat sambutan di Jepun.
Ahli kumpulan tersebut telah dijemput untuk mengadakan persembahan di pentas antarabangsa, dan menyifatkan sokongan peminat dari seluruh dunia sebagai pencetus semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia hiburan.
Konsert itu nanti, bakal dimeriahkan dengan kehadiran tiga artis jemputan istimewa termasuk penyanyi solo popular, Ismail Izzani, yang dikenali dengan gabungan genre R&B dan pop serta memiliki jutaan pendengar sejak debutnya pada usia 17 tahun.
Selain itu, konsert diserikan dengan penampilan kumpulan pop wanita tempatan yang sedang meningkat naik, COËX. Kumpulan itu dikenali dengan lagu-lagu bertenaga dan tema kekuatan wanita yang mendapat sambutan hangat di platform penstriman tempatan.
Tidak ketinggalan, JKT48, kumpulan adik AKB48 dari Indonesia dan juga kumpulan luar negara pertama dalam 48 Group, turut hadir memeriahkan acara.
Berpusat di Jakarta, JKT48 merupakan peneraju dalam memperkenalkan budaya idola Jepun ke Asia Tenggara dan terus kekal sebagai antara kumpulan idola paling berjaya di rantau ini.