KUALA LUMPUR, 3 Julai- Drama komedi 'Enjoy Your Stay' terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal kembali menemui penonton untuk musim baharu yang lebih menarik, penuh kejutan dan lawak bersahaja.
Susulan, menerima maklum balas positif daripada penonton pada musim pertama, drama 13 episod ini kini kembali dengan musim kedua yang bakal disiarkan bermula 9 Julai, setiap Rabu, pukul 9.00 malam menerusi saluran Okey dan RTMKlik.
Pengarah, Ikhsan Sukiman, salah seorang penerbit di Unit Drama TV RTM, memilih Santubong, Sarawak sebagai lokasi penggambaran 'Enjoy Your Stay'.
Pemilihan lokasi itu, sekali gus menyumbang kepada mempromosikan keindahan Bumi Kenyalang kepada masyarakat luar.
Drama ini menampilkan pelakon utama Harris Alif sebagai Sean, ia turut dibintangi oleh Chacha Maembong melakonkan watak Ariana, Sangeeta Krishnasamy, Taqim Zaki, Emily Elizabeth, Riezman Khuzaimi dan Ruby Ooi.
Sinopsis:
Kisah bermula selepas pemergian Beber untuk menyambung pengajian, membuatkan Sean bercita-cita untuk mengambil alih jawatan sebagai General Manager (GM) di Damai Beach. Namun, kemunculan Ariana iaitu anak saudara kepada Tuan Adam telah menggugat kedudukan Sean sebagai GM dan menjadi pesaing serta mencabar impian Sean.
Kemunculan gadis Kadazan Dusun Sarawak yang cantik iaitu Orked sebagai pengajar renang yang menggantikan Sofea dan Mat Boyak yang meminati rock sebagai Sous Chef baru di Damai Beach menambah lagi cerita dalam kalangan mereka.
Sementara itu, kehadiran Sangeeta yang kini telah menjadi peguam yang kadang kala muncul di hotel untuk bercuti seringkali terpalit dengan masalah yang berlaku di hotel.
Saksikan bagaimana Sean yang kini semakin tenang menghadapi karenah, isu dan masalah yang dibawa oleh tetamu hotel. Persoalannya mampukah Sean berganding bahu bersama Ariana menyelesaikan dan menguruskan setiap masalah yang berlaku?
Tidak lupa juga kisah menarik tentang Mat Boyak yang ditugaskan untuk mencari telur ikan Shark dan juga kisah Orked bersama suami tercinta. Tetapi, siapakah suami tercinta Orked?
'Enjoy Your Stay' musim kedua menjanjikan pelbagai kisah pahit manis, suka dan duka pekerja hotel dan tetamu hotel yang disulami dalam satu kisah komedi ringan yang berlatarbelakangkan Bumi Kenyalang.