KUALA LUMPUR, 4 Julai- Festival Kandungan ABU atau ABU Con-Fest 2025 yang akan berlangsung dari 8 hingga 10 Julai ini bakal memberi tumpuan kepada penerbitan kandungan berdramatik, selaras dengan perkembangan pesat industri kreatif dan penyiaran di rantau Asia Pasifik.
Penolong Eksekutif Bahagian Program Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU), Naim Ramin, berkata festival tahunan anjuran ABU itu akan diadakan di Holiday Inn, Bangsar dengan penyertaan lebih 300 peserta dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea, Fiji, Vanuatu, Indonesia dan Malaysia.
“ABU Con-Fest merupakan acara penting bagi penerbit, pengarah serta penggiat kandungan digital dan penyiaran. Ia menjadi platform untuk berkongsi idea, membincangkan isu semasa dan meneroka pendekatan baharu dalam penghasilan kandungan berkualiti, khususnya dalam genre drama,” katanya ketika ditemui selepas muncul dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.
Tambah beliau, antara penyertaan istimewa tahun ini termasuk Turkish Radio Television (TRT) dari Turkiye, yang sebelum ini mencuri perhatian menerusi penerbitan drama bersejarah dengan kesan visual serta rekaan bunyi yang mengagumkan.
Festival selama tiga hari itu turut merangkumi sesi ceramah, perbincangan dan bengkel interaktif bersama tokoh industri kandungan dari seluruh dunia.
“Masih ada beberapa slot terbuka bagi mereka yang berminat menyertai festival ini. Mereka boleh menghubungi pihak urus setia melalui e-mel
ABU Con-Fest merupakan acara tahunan yang dinanti komuniti penyiaran serantau dan terus berkembang sebagai medium pertemuan strategik penggiat industri dalam era digital masa kini.