KUALA LUMPUR, 4 Julai - Kumpulan 4U2C mengambil serius dan sama sekali tidak memandang ringan isu hak cipta lagu yang akan dipersembahkan pada konsert We 4U2C Live In Concert, 15 September depan.
Ia susulan isu tersebut disuarakan penerbit Man Senoi dan isterinya, Mama Rap yang tidak berpuas hati dengan penganjuran konsert berkenaan kerana mempunyai hak terhadap 25 lagu nyanyian kumpulan itu.
Menurut ahli kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, dia dan anggota lain tidak pernah membelakangkan undang-undang muzik di Malaysia, sebaliknya akan mencari penyelesaian terbaik.
"4U2C tidak memandang remeh isu hak cipta lagu yang sedang hangat diperkatakan, malah kami menghormati karya seni dan undang-undang muzik yang telah ditetapkan.
“Apa boleh saya katakan, kami profesional dan akan cuba selesaikan perkara ini menggunakan saluran yang betul,” katanya.
Dalam pada itu jurucakap Juss Events, Shasha Marican, selaku penganjur konsert We 4U2C memaklumkan, pihaknya sudah berjumpa dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) untuk mendapatkan nasihat mengenai isu yang dibangkitkan.
Mereka telah berjanji untuk mengikuti segala nasihat yang diberikan, serta mematuhi undang-undang hak cipta lagu yang ditetapkan.
“Pihak pengurusan bersama wakil 4U2C telah berhubung dengan agensi-agensi wajib seperti MACP untuk mendapatkan penjelasan dan nasihat berhubung isu hak cipta lagu.
“Kami bersyukur pertemuan tersebut berlangsung dengan baik dan panduan yang diberikan akan kami turuti dan konsert yang akan berlangsung nanti menepati undang-undang hak cipta lagu di Malaysia".
Tambah Shasha, Juss Events komited dalam mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu hak cipta lagu ini dan enggan perkara tersebut terus berlanjutan.
Selaku penganjur, Juss Events akan memastikan undang-undang muzik Malaysia dipatuhi dan semua pihak akan diberikan penghormatan sewajarnya, termasuk pencipta lagu itu sendiri.
“Kami komited mahu menyelesaikan isu hak cipta lagu ini kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan bagi mana-mana pihak.
“Selain itu, kami akan pastikan pihak kami mematuhi undang-undang muzik Malaysia dan pihak-pihak berwajib, termasuk pencipta asal lagu diberikan penghormatan sewajarnya,” katanya.