PETALING JAYA, 11 April- Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus mengamalkan konsep gelembung sukan ke atas atlet-atlet yang bakal memulakan latihan pada 17 April ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) MSN, Suhardi Alias berkata ia bertujuan memastikan persiapan menghadapi Sukan SEA 2021 Hanoi berjalan lancar, sekali gus mengelak daripada sebarang isu Covid-19 sebelum berlepas ke Vietnam Mei depan.
"Sebagai persiapan awal, MSN akan memanggil semua atlet menjalani latihan pusat di Bukit Jalil dalam masa terdekat dan sepanjang tempoh tersebut atlet dilarang menerima tetamu,
"Tujuan kami meletakan atlet dalam gelembung sukan ini adalah untuk memastikan persediaan yang telah dilaksanakan khasnya persediaan ke Sukan SEA, Vetnam sejak 2020 lagi akan berjalan lancar tanpa sebarang penularan jangkitan baharu dalam perkampungan latihan tersebut," jelasnya kepada pemberita di Petaling Jaya.
(Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) MSN, Suhardi Alias)
Tambahnya, selain atlet yang akan berkampung di MSN, pemain skuad badminton pula kekal menjalani latihan di Bukit Kiara.
Jelas Suhardi lagi, kumpulan pertama atlet akan berlepas ke Vietnam pada 7 Mei depan.