fb fb fb fb fb

Mimifly lancar single “Nara” sempena Hari Kebangsaan, inspirasi Legenda Puteri Gunung Ledang

Penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik, Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Sempena sambutan Hari Kebangsaan, penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik tanah air, Mimifly, tampil dengan single terbaharu berjudul “Nara” di bawah naungan Sony Music Entertainment Malaysia.

Lagu berkenaan diinspirasikan daripada legenda Puteri Gunung Ledang, dengan mengetengahkan watak wanita bijaksana, berwibawa, strategik dan berani, digarap sebagai sebuah 'anthem' yang membangkitkan semangat juang.

Pada masa sama, Sony Music Entertainment Malaysia menjalin kerjasama dengan permainan mudah alih Honor of Kings (HOK) yang akan memperkenalkan skin baharu Puteri Gunung Ledang pada 28 Ogos.

Skin itu menampilkan interpretasi moden figura legenda Malaysia dengan sentuhan budaya Nusantara termasuk fabrik songket berasaskan teknologi 3D serta motif visual autentik, yang bukan sahaja menyerlahkan warisan tempatan malah mewujudkan keterhubungan emosi dengan pemain.

Mimifly berkata inspirasi lagu “Nara” lahir daripada simbol ketabahan dan ketepatan seorang srikandi, selari dengan naratif Honor of Kings yang memaparkan pejuang legenda di medan epik.

“Ia satu penghormatan buat saya untuk menghasilkan ‘Nara’. Melalui lagu ini, saya ingin menjiwai semangat Puteri Gunung Ledang, kebijaksanaan, keberanian, serta keanggunan dan menterjemahkan tenaga itu dalam muzik yang membangkitkan pejuang dalam diri kita,” kata Mimifly dalam satu sidang media, di sini, pada Rabu.

“Bagi saya, kekuatan sebenar bukan sekadar datang daripada tenaga, tetapi juga daripada minda dan hati. Saya turut memasukkan bahasa isyarat sebagai tanda penyatuan dan keterangkuman. Sama ada anda pemain game atau tidak, saya berharap lagu ini membakar semangat untuk terus maju dan menjadi versi terbaik diri sendiri.”

Menggabungkan elemen pop dan hip hop dengan sentuhan muzik Nusantara yang sinonim dengan identiti Mimifly, single “Nara” menampilkan melodi berulang bersifat 'chant-like' yang bertujuan membangkitkan semangat juang pendengar.

Lagu itu dicipta sepenuhnya oleh Mimifly bersama pasukan produksi PriiBoMii.

Pengarah Kanan Domestik, Pemasaran dan Perkongsian Sony Music Entertainment Malaysia, Ally Siw, berkata kolaborasi berkenaan membuktikan kuasa muzik dalam menyatukan budaya serta memperkukuh warisan Malaysia melalui pendekatan kreatif dan segar.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE