LOS ANGELES, 27 Ogos – Bintang pop Taylor Swift dan pemain National Football League (NFL), Travis Kelce, mengumumkan pertunangan mereka menerusi media sosial pada Selasa.
Dalam satu hantaran bersama di Instagram, pasangan itu menulis: “Cikgu Bahasa Inggeris awak dan Cikgu Pendidikan Jasmani awak bakal berkahwin," sambil memaparkan gambar pemain Kansas City Chiefs berlutut melamar Swift di sebuah taman dihiasi bunga merah jambu dan putih.
Hantaran tersebut turut disertai petikan lagu Swift berjudul “So High School” sebagai muzik latar.
Berita pertunangan pasangan itu mendapat sambutan hangat di media sosial dengan mencatat lebih 1.8 juta tanda suka dalam tempoh kurang 20 minit, selain menerima ucapan tahniah daripada pihak NFL.
Bagaimanapun, tarikh perkahwinan masih belum diumumkan.-REUTERS