fb fb fb fb fb

Album sulung Bahtera 'Aura Cintaku' sarat mesej cinta dan pengorbanan

Album sulung Bahtera 'Aura Cintaku' menampilkan 10 lagu yang mengetengahkan tema cinta, kesetiaan dan pengorbanan. Foto- RTM.

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Kumpulan baharu Bahtera, yang diasaskan oleh gitaris utamanya, Adie Bahtera, kini hadir dengan album sulung berjudul Aura Cintaku.

Album ini lahir sebagai sebuah karya yang mengangkat tema cinta dalam pelbagai dimensi iaitu cinta terhadap Tuhan, kasih sayang sesama insan, serta penghargaan terhadap keluarga, sahabat, teman dan seluruh umat manusia. Setiap melodi dibaluti dengan emosi tulus, manakala bait-bait lirik menyampaikan nilai kehidupan seperti keikhlasan, kejujuran, kesetiaan, pengorbanan, serta tanggungjawab sebagai insan.

Aura Cintaku memuatkan 10 buah lagu iaitu Firasat Jiwa, Antara Cinta dan Kesetiaan, Pencarian, Bunuhan Cinta, Rentan, Hanya Kamu, Sentiasa di Hati, Segunung Cinta, Cinta Sejati dan Rekah. Kesemua lagu ini dihasilkan untuk menyuntik pengajaran serta mesej kepada masyarakat bahawa kasih sayang, kesetiaan, penghargaan, redha pada qada’ dan qadar, serta pengorbanan adalah asas kehidupan yang sebenar.

Selain mempersembahkan karya seni, Bahtera juga membawa misi lebih besar melalui penjenamaan Bahtera Muzik Studio. Syarikat ini berhasrat menjadi antara nama bumiputera yang tersohor dalam industri muzik tanah air, merangkumi rakaman lagu, penyusunan muzik dan lirik, pembikinan muzik video, perkhidmatan persembahan muzik serta penganjuran acara pentas.

Dengan Aura Cintaku, Bahtera bukan sekadar memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan muzik baharu, tetapi juga sebagai suara yang ingin mengajak masyarakat menghargai erti cinta dan pengorbanan dalam kehidupan seharian.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN