fb fb fb fb fb

‘Big Band Project 2025’ RTM musim kedua bermula November

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Program hiburan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), 'Big Band Project 2025' kembali untuk musim kedua bermula November dengan mengetengahkan konsep mini konsert orkestra bertemakan 'Fusion Fiesta'.

Program itu menampilkan gabungan muzik moden dan elemen tradisional oleh 22 pemuzik Orkestra RTM serta barisan penghibur tanah air terdiri daripada seorang penyanyi utama, dua penyanyi jemputan dan gabungan artis senior serta baharu.

Empat segmen utama akan dipersembahkan dalam setiap episod iaitu persembahan artis utama, artis jemputan, duet dan lagu instrumental.

Rakaman lima episod program berkenaan berlangsung di Studio M1, Angkasapuri Kota Media mulai 27 Ogos, setiap Sabtu dan Rabu, pukul 9.00 malam. Tayangan pula akan disiarkan selama satu jam pada setiap Sabtu, 9.00 malam menerusi saluran TV2 dan RTMKlik.

Hos program dikendalikan oleh Sharizan Borhan dengan kemunculan artis ternama tanah air. Episod pengenalan akan menampilkan Datuk Francissca Peter, Leaism dan Sissy Iman, diikuti episod kedua bersama Noryn Aziz, Syamel dan Liyana Fizi.

Episod ketiga pula mempersembahkan Datuk Zainal Abidin, Vince dan Ushera, manakala episod keempat menampilkan Shila Amzah, Amylea Azizan dan Sarah Suhairi. Episod terakhir akan menampilkan Hazami, Nikki Palikat dan Eryn Ghani.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE