KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Telefilem istimewa sempena sambutan Maulidur Rasul berjudul Lembayung Senja terbitan Unit Drama TV RTM (UDTV RTM) arahan Zairol Fahmee Khairuddin bakal menemui penonton pada 6 September ini, pukul 9.00 malam di TV1.
Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Yaakob Abd Aziz, Khai Sabri, Riz Amin, Ku Farisah, Soffi Jikan, Ariel Ganu dan Tengku Hamidah, karya tersebut dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Menurut pengarahnya, Zairol Fahmee Khairuddin, karya ini diinspirasikan daripada peristiwa besar Penghijrahan junjungan Nabi Muhammad SAW.
“Mesej utama yang ingin kami sampaikan ialah bagaimana manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan, namun masih ada ruang untuk berubah. Watak Pak Aki membawa penonton menelusuri perjalanan seorang tua yang menyesali dosa silam dan berusaha menjadi insan yang lebih baik. Kami menyuntik elemen keagamaan, termasuk ayat-ayat suci al-Quran, bagi memperkukuh penghayatan kisah ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kekuatan Lembayung Senja terletak pada konsep merentas masa, set yang bermakna serta sinematografi yang memberi kesan mendalam kepada penonton.
Bagi Yaakob yang membawakan watak Pak Aki, penghayatan watak menjadi cabaran utama.
“Dialog Pak Aki tidak banyak, namun padat dan penuh makna. Jadi, saya banyak bermain dengan ekspresi dalaman. Untuk saya, watak ini amat istimewa kerana saya menghidupkannya dengan inspirasi daripada arwah ayah saya sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, Khai Sabri yang memegang watak Zaki menyifatkan penggambaran telefilem itu penuh dengan cabaran emosi.
“Proses penggambaran berlangsung selama 12 hari, dan separuh daripadanya menuntut emosi berat hingga menitiskan air mata setiap hari, khususnya pada lima hari terakhir.
"Menariknya, sepanjang penggambaran, banyak perkara luar jangka berlaku, cuaca, suasana alam, seolah-olah memberi sentuhan istimewa daripada Allah SWT untuk menghidupkan lagi kisah ini,” ujarnya.
Ku Farisah yang memegang watak Sukma turut berkongsi cabaran tersendiri apabila wataknya membawa maksud lebih simbolik.
“Watak Sukma ini sebenarnya melambangkan jiwa. Saya perlu mengkaji dengan mendalam untuk memahami simbolik itu kerana saya bukan sekadar membawa watak manusia biasa, tetapi jiwa yang digambarkan dalam bentuk seorang wanita,” katanya.
Lembayung Senja mengangkat kisah Pak Aki, 60, seorang bekas pembunuh upahan yang kembali ke Kampung Hulu iaitu lokasi pertama dan terakhir dia melakukan pembunuhan. Dalam usaha meninggalkan masa silam hitam, Pak Aki berdepan cabaran besar untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, selain menebus dosa lalu.
Dengan jalan cerita penuh pengajaran, gabungan lakonan mantap dan elemen sinematik yang mengagumkan, Lembayung Senja dijangka menjadi telefilem istimewa yang menyentuh hati penonton sempena Maulidur Rasul tahun ini.