(Album ke-10 Taylor Swift, berjudul 'Midnights')
LOS ANGELES, 23 Oktober- Album ke-10 Taylor Swift berjudul 'Midnights', berjaya mencetuskan fenomena dalam industri muzik berikutan album tersebut menandakan kemunculan semula penyanyi dan penulis lagu Amerika Syarikat itu.
Ia sekali gus memberi impak kepada platform Spotify kerana sistemnya tergendala buat seketika berikutan pelancaran lagu Taylor Swift.
Pendengar terpaksa menunggu untuk mendengar lagu terbaharu Swift di platform penstriman digital itu.
Walaupun menghadapi masalah teknikal, karya yang dinanti-nantikan itu mencatat rekod sebagai album paling banyak didengar dalam sehari, kata Spotify.
"Sebelum tengah malam pada 22 Oktober, Taylor Swift memecahkan rekod dalam sejarah Spotify untuk album paling banyak penstriman dalam satu hari," kata platform itu di Twitter.
Swift kemudian berkongsi reaksinya dan berterima kasih kepada semua peminatnya menerusi satu hantaran di twitter, penyanyi itu menulis, "bertuahnya saya kerana anda semua sentiasa menyokong, ini sangat luar biasa."
(Taylor Swift)
13 lagu dalam album itu menceritakan "kisah 13 malam tanpa tidur sepanjang hidup saya," jelas Taylor Swift di Twitter.
Dua album terdahulunya, "Evermore" dan "Folklore," ditulis semasa pandemik COVID-19 pernah memenangi Album Terbaik pada Grammy 2021.
Lana Del Rey turut berduet dalam album tersebut dengan lagu berjudul 'Snow on the Beach'.
Album itu berjaya memukau pengkritik muzik serta diterima dengan baik oleh The Guardian dan album tersebut dilabelkan sebagai, "hebat, tenang dan matang", "padat dengan lagu-lagu yang hebat."