KUALA LUMPUR, 17 Mac - Pasukan Maybank terus mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 selepas membenam UiTM HA, 6-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini.
Dua gol Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-42 dan 54 membantu kemenangan besar Maybank manakala Muhammad Razie Abd Rahim juga turut mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-25 hasil penyudah pukulan sudut penalti.
Tiga lagi gol Maybank yang terhasil menerusi gol pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-7.
Sementara dua gol padang yang terhasil pada minit ke-31 dan 47 masing-masing menerusi gol Muhammad Hafizi Zainudin dan Muhajir Abdu Rauf.
Kemenangan yang menyaksikan Maybank kini mengumpul 19 mata itu sekaligus meletakkan mereka di kedudukan ketiga liga dan hampir pasti tidak akan mampu untuk dicabar oleh UiTM HA yang kini dikedudukan keempat dengan 13 mata.
(Aksi perlawanan pasukan Maybank menentang UiTM HA pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022)
Dalam satu lagi aksi, pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diberikan kemenangan 5-0 menerusi peraturan walkover.
Ini selepas pasukan Nurinsafi Sporting tidak dapat meneruskan perlawanan susulan kecederaan pemain dan pasukan tidak cukup pemain.
Kemenangan itu terus meletakkan TNB kekal di tangga teratas dengan 30 mata, empat mata di depan pencabar terdekat Pasukan Hoki Terengganu (THT).
Saingan separuh akhir Piala TNB secara timbal balik akan bermula 25 Mac ini manakala final dijadualkan pada 31 Mac.