(FOTO AFP)
INDIAN WELLS, 15 Mac- Pemain tenis Perancis, Gael Monfils berjaya benam Daniil Medvedev sekali gus pemain berdarah Rusia itu tersingkir daripada Indian Wells Masters.
Kekalahannya itu turut menyebabkan Medvedev gagal untuk mempertahankan takhta bergelar sebagai pemain nombor satu dunia.
Pemain ranking ke-28 dunia dari Perancis, Monfils beraksi cemerlang ketika menundukkan Medvedev 4-6, 6-3, 6-1 dalam tempoh dua jam untuk mara ke pusingan keempat.
Ini adalah kali pertama pemain 35 tahun itu menewaskan pemain di ranking tertinggi dunia sejak tahun 2009.
Kekalahan itu menyaksikan Novak Djokovic kembali menduduki takhta tenis perseorangan lelaki dunia, tiga minggu selepas Medvedev merampasnya pada 28 Februari lalu.
(Pemain tenis Rusia, tewas ditangan Monfils pada kejohanan Indian Wells Masters/AFP)
"Saya bermula baik tahun ini, rasa lebih kuat dan bergerak dengan baik. Saya berada dalam zon saya dan saya adalah lawan yang sukar untuk sesiapa saja.
"Sudah lama saya tidak menewaskan pemain nombor satu dunia, jadi saya amat gembira," kata Monfils yang menghadiahkan kemenangan kepada isterinya Elina Svitolina dari Ukraine.
Medvedev hanya berjaya bertahan selama tiga minggu sebagai pemain tenis nombor satu dunia, menewaskan pemain Serbia, Novak Djokovic.- AFP