KUALA LUMPUR, 10 Februari- Siri animasi Mechamato mencipta sejarah apabila menjadi animasi luar Jepun yang pertama diumum sebagai pemenang bagi kategori anugerah ‘Anime Fan Award’ di Tokyo Anime Award Festival (TAAF) 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (Monsta) Nizam Abd Razak berkata, kemenangan itu ialah satu permulaan yang baik untuk siri animasi terbitan studio tempatan itu di pasaran Jepun serta pasaran antarabangsa.
“Kami berterima kasih kepada semua yang mengundi Mechamato. Kami sangat teruja dengan anugerah Tokyo Anime Award Festival dari Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan industri animasi mereka.
“Monsta yakin Mechamato akan dapat memikat hati penonton Jepun terutama daripada golongan kanak-kanak kerana konsepnya yang unik dan ceritanya yang penuh dengan nilai-nilai murni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan itu diumumkan menerusi laman rasmi TAAF yang menyaksikan Mechamato berjaya meraih sebanyak 40,590 undian daripada peminat animasi, mendahului 50 lagi pesaing dalam kategori sama.
Mechamato layak untuk dipertandingkan setelah animasi itu ditayang di saluran Cartoon Network Japan pada Mac 2022. Populariti siri animasi dari Malaysia itu melonjak naik apabila ia disiarkan di platform penstriman Netflix Jepun pada Oktober 2022.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Monsta Faiz Zainal Aabidin dalam kenyataan sama berkata anugerah itu diharapkan dapat menjadi batu loncatan untuk pihaknya mendapatkan keyakinan para pengedar di Jepun untuk menerima hasil karya anak Malaysia.
“Terima kasih diucapkan kepada Cartoon Network Japan kerana memberi kepercayaan kepada siri animasi Mechamato.
(Foto hiasan)
“Kami tidak mahu berhenti hanya di sini. Monsta akan terus berusaha untuk membawa siri Mechamato ke stesen televisyen tempatan Jepun, dan kalau mampu, untuk menayangkan Mechamato Movie di pawagam Jepun juga,” katanya.
Siri Mechamato kini ditayangkan di lebih 70 negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.
Mechamato Movie yang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 8 Disember 2022 kini telah berjaya meraih kutipan lebih RM36 juta dan masih ditayangkan di pawagam tempatan untuk minggu yang ke-10. -BERNAMA