fb fb fb fb fb

Filem Coast Guard: Ops Helang jadi platform kenali MARITIM Malaysia

(FOTO RTM)

LANGKAWI, 9 Februari-Siapa sangka filem Coast Guard: Ops Helang (CGMOH) yang sebelum ini hanya dianggap sebagai hiburan sebenarnya mampu menjadi wahana kepada masyarakat dari sudut memberi penerangan mengenai fungsi dan peranan sesebuah agensi penguatkuasaan di negara ini.

Menjelang sambutan Hari Ulang Tahun ke-18 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) pada 15 Februari nanti, masyarakat berpeluang mengenali agensi kerajaan itu secara lebih dekat setelah menonton filem berkenaan.

Satu tayangan khas filem tersebut diadakan di MM Cineplex, Langkawi Parade Megamall malam kelmarin.

Rata-rata penonton yang hadir ke panggung begitu teruja setelah menonton filem tersebut.

Ini dibuktikan dengan sambutan yang cukup meriah diberikan oleh penoton yang terdiri daripada pemimpin tempatan, wakil jabatan kerajaan daerah Langkawi, ahli persatuan nelayan dan pelajar kolej vokasional.

Beberapa pelakon filem berkenaan seperti Julia Farhana Marin, Kodi Rasheed, Akmal Ahmad dan Trisha Ooi turut hadir memeriahkan tayangan khas itu.

Pihak MARITIM Malaysia turut menyediakan pameran berkaitan agensi itu di ruang legar pawagam bagi tatapan dan informasi kepada penonton.

Filem CGMOH kini ditayangkan di 144 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei bermula pada 2 Februari lalu.

Filem berkenaan kini sudah meraih lebih RM2.5 juta setelah 6 hari tayangan di pawagam.

Filem Coast Guard: Ops Helang diarahkan oleh Allahyarham Pitt Hanif mengisahkan mengisahkan tentang kehidupan Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat MARITIM iaitu Leftenan Maritim Hafiz yang ingin memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau.

Keputusan itu dibuat olehnya selepas mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah operasi.

Namun, ketika majlis pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah yang tidak dikenali menyerang dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu bapa serta beberapa tetamu lain termasuk beberapa Anggota MARITIM untuk dijadikan tebusan.

Pegawai Penyiasat MARITIM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Leftenan Maritim Melati ditugaskan untuk menyiasat kes tersebut.

Krisis terus meruncing apabila kumpulan penjenayah berterusan mencabar Hafiz dan APMM, lalu satu operasi besar-besaran diaktifkan sehingga kumpulan penjenayah terbabit tumpas.


(Penonton yang hadir pada tayangan khas filem Coast Guard: Ops Helang di MM
Cineplex, Langkawi/FOTO RTM)

Media Baharu