KUALA LUMPUR, 11 Disember- Kumpulan muzik retro tempatan, MASDO menduduki tangga teratas dalam kategori 'Malaysia Top Local Groups of 2024' serta berada di kedudukan lima teratas dalam kategori 'Malaysia Top Local Artists of 2024' menerusi Spotify Wrapped pada tahun ini.
Pencapaian itu membuktikan kumpulan berkenaan mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik tempatan serta mendapat sokongan padu daripada peminat mereka.
MASDO turut mencipta sejarah tersendiri dengan memukau penonton di Indonesia selain menggegarkan pentas di Mongolia dan Korea Selatan.
Selain itu pencalonan mereka untuk kategori 'Best Asia Act' di MTV EMA 2024, bersama artis terkenal dari Jepun, Korea Selatan, Filipina, dan Indonesia menambahkan kedudukan kumpulan retro itu dalam industri muzik Malaysia.
Menutup tirai 2024, MASDO bersedia untuk meneruskan momentum dengan menjanjikan pelbagai projek menarik pada tahun depan.
Antaranya pelancaran album penuh dan siri jelajah menyeluruh di Malaysia, Singapura, serta Indonesia.