fb fb fb fb fb

Masalah kesihatan, SUGA BTS mula perkhidmatan alternatif wajib

(Suga BTS/ IG agustd)

SEOUL, 22 September- Anggota Kumpulan BTS, Min Yoon-gi atau lebih popular dengan nama SUGA memulakan perkhidmatan alternatif wajibnya hari ini, selepas dia diisytiharkan tidak layak untuk mengikuti latihan ketenteraan yang biasa atas faktor kesihatan.

Alasan terhadap keputusan itu masih tidak didedahkan, bagaimanapun ramai percaya ia berkaitan dengan pembedahan bahu yang dilakukanya pada 2020, menurut media tempatan, Yonhap.

Lapor Yonhap lagi, "dia akan bekerja sebagai ejen perkhidmatan sosial. SUGA telah diputuskan sebagai tidak layak untuk tugas tempur biasa."

Semua lelaki di Korea Selatan yang sihat tubuh badan diwajibkan berkhidmat sekurang-kurangnya 18 bulan dalam tentera.

Bagaimanapun, kelonggaran masih diberikan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan, dengan mereka ditugaskan untuk perkhidmatan alternatif selama 21 bulan, antaranya bekerja di pejabat kerajaan.

Dalam pada itu, SUGA menerusi media sosial mengucapkan penghargaan terhadap peminatnya dan memberitahu akan kembali menemui mereka selepas dua tahun.

"Saya telah berjaya sejauh ini terima kasih kepada anda semua. Masanya telah tiba untuk memulakan perkhidmatan saya.

"Saya akan kembali setelah bersungguh-sungguh menunaikan khidmat saya. Moga kita bertemu lagi pada tahun 2025!" katanya.

Sementara itu, syarikat pengurusan kumpulan terbabit, HYBE meminta peminat agar tidak pergi ke tempat SUGA bertugas.

"Kami meminta peminat untuk mengelak daripada mengunjungi lokasi kerja SUGA sepanjang tempoh perkhidmatan alternatifnya. Kami meminta anda hanya memberikan ucapan selamat tinggal dan semangat kepada SUGA melalui hati anda," katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, HYBE mengumumkan bahawa kesemua tujuh ahli BTS akan memperbaharui kontrak mereka dengan agensi itu. -AFP

(J-Hope, Jimin dan RM (dari kiri hadapan), V, Suga, Jin, Jungkook (dari kiri belakang)/AFP)

Media Baharu