fb fb fb fb fb

Legenda funk, Sly Stone meninggal dunia pada usia 82 tahun

Pengasas kumpulan berpengaruh Sly and the Family Stone, Sly Stone

LOS ANGELES, 10 Jun- Sly Stone, ikon muzik yang terkenal sebagai pengasas kumpulan berpengaruh Sly and the Family Stone, meninggal dunia pada usia 82 tahun, menurut kenyataan rasmi keluarganya pada Isnin.

Stone menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung lama dengan penyakit paru-paru kronik (chronic obstructive pulmonary disease) dan beberapa masalah kesihatan lain.

Sly Stone merupakan figura utama dalam evolusi muzik Amerika, memimpin kumpulan multirasial yang menggabungkan rock, soul dan psychedelia, menjelmakan semangat idealisme era 1960-an. Kumpulan itu juga antara yang bertanggungjawab mempopularkan muzik funk kepada khalayak yang lebih luas.

Antara penampilan paling ikonik beliau ialah di festival Woodstock tahun 1969, satu detik bersejarah dalam budaya hippie di mana persembahan mereka dianggap antara yang paling diingati sepanjang zaman.

Kumpulan Sly and the Family Stone menawan carta-carta muzik Amerika lewat 1960-an hingga awal 70-an menerusi lagu-lagu seperti Dance to the Music, Everyday People, Family Affair, Hot Fun in the Summertime, dan I Want to Take You Higher. Gaya muzik mereka unik penuh 'groove', berani mencampur elemen genre dan sarat mesej perpaduan serta kebebasan.

Stone juga memainkan peranan penting dalam perkembangan muzik funk, dengan membawa gaya muzik berteraskan budaya Afro-Amerika yang penuh dengan rentak berlapis dan alunan bass yang menonjol. Walaupun muziknya semakin diterima arus perdana, semangat 'counterculture'  iaitu budaya yang menentang norma dan menyuarakan kebebasan tetap menjadi jiwa utama karya-karyanya.

Ditubuhkan pada 1966, Sly and the Family Stone bukan sekadar kumpulan muzik, tetapi satu simbol integrasi sosial barisan ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum dan jantina. Stone melibatkan adik-beradiknya, Freddie dan Rose, bersama pemuzik kulit putih dan wanita seperti pemain trompet legenda, mendiang Cynthia Robinson satu pendekatan yang sangat radikal pada zamannya.

Namun di sebalik kejayaan besar, kehidupan Stone mulai suram apabila beliau terjerumus ke dalam penyalahgunaan dadah. Walaupun beberapa usaha dilakukan untuk membuat kemunculan semula, beliau tidak pernah benar-benar kembali ke arus perdana.

Dengan gaya flamboyan, suara penuh semangat dan pendekatan muzik yang melangkaui sempadan, Sly Stone meninggalkan satu legasi penting dalam sejarah muzik Amerika, seorang inovator yang menyatukan bangsa, suara dan rentak dalam satu irama perjuangan dan harapan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE