SEOUL, 12 Jun- Dua lagi anggota kumpulan sensasi global BTS, Jungkook dan Jimin, secara rasmi menamatkan khidmat ketenteraan mereka hari ini sekali gus membuka laluan kepada kemungkinan besar penyatuan semula kumpulan tersebut dalam masa terdekat.
Kumpulan itu yang merupakan aset muzik paling berharga Korea Selatan, telah berehat sejak 2022 bagi membolehkan setiap ahli menjalani perkhidmatan tentera yang diwajibkan kepada semua warganegara lelaki di bawah umur 30 tahun.
Lebih 1,000 peminat berkumpul sejak awal pagi berhampiran pangkalan tentera untuk menyambut kepulangan Jimin dan Jungkook, dengan suasana gamat sehingga menjejaskan sambungan siaran langsung beberapa stesen penyiaran tempatan akibat gangguan rangkaian.
“Terima kasih kerana setia menanti kami selama ini,” ujar Jungkook ketika ditemui media, disambut sorakan tidak henti-henti daripada para peminat.
“Sekarang kami telah selesai menjalani khidmat, inilah masanya untuk kami teruskan impian yang pernah kami lukiskan bersama. Kami akan kembali dengan versi yang lebih baik dari diri kami,” tambahnya.
Jimin pula mengakui pengalaman dalam tentera bukan sesuatu yang mudah, namun penuh dengan nilai kenangan yang akan terus disimpan.
“Saya harap, selepas alami sendiri kehidupan sebagai tentera, semua orang akan lebih menghargai pengorbanan mereka. Satu ucapan ringkas pun boleh beri makna besar kepada mereka,” ujarnya.
Sekitar lokasi turut dihiasi dengan pelbagai sepanduk dan belon berwarna-warni. Antaranya tertulis, “Suara Jungkook, kembali ke dunia,” dan “Jimin! Lepas ni jom buat world tour?”
Dengan selesainya perkhidmatan tentera oleh enam ahli, hanya seorang anggota, SUGA, yang kini sedang menjalani khidmat alternatif sebagai ejen sosial dijangka menamatkan tugas pada 21 Jun ini.
Peminat tegar dikenali sebagai ARMY, dilihat hadir seawal 3.00 pagi, termasuk dari luar negara. “Saya dah jadi ARMY sembilan tahun, ini kali pertama dapat lihat mereka secara langsung. Rasa nak menangis,” kata Anaisa Silva, 30, dari Portugal.
Jimin dan Jungkook kemudian menyertai sesi siaran langsung di platform peminat, Weverse, meluahkan rasa terharu dengan sambutan yang diberikan.
“Sejujurnya kami sangat berterima kasih kepada semua yang menunggu kami. Kami harap masa yang sesuai akan tiba tidak lama lagi untuk kami membalas segalanya,” kata Jungkook.
HYBE, agensi pengurusan BTS, mengesahkan semua anggota telah menandatangani semula kontrak baharu pada 2023. Penganalisis menjangkakan aktiviti penyatuan semula kumpulan akan menjadi pemacu utama industri hiburan Korea.
“Pengumuman ini adalah berita sangat positif buat industri K-pop,” kata penganalisis dari Leading Investment and Securities, Yoo Sung-man.
Sebelum khidmat ketenteraan, BTS menyumbang lebih 5.5 trilion won (kira-kira RM19.3 bilion) kepada ekonomi Korea Selatan setiap tahun – bersamaan 0.2 peratus daripada KDNK negara itu.
Sambutan ulang tahun ke-12 penubuhan BTS yang akan diraikan Jumaat ini dijangka menyaksikan ribuan peminat membanjiri Seoul, manakala bangunan ibu pejabat HYBE turut dihiasi slogan besar berbunyi “WE ARE BACK”.-AFP