fb fb fb fb fb

Lebih 13,000 penonton hadir di Konsert Jiwa Kacau 3.0 gandingan artis serumpun

lebih 13,000 peminat muzik yang hadir menyaksikan Konsert Jiwa Kacau 3.0 pada Sabtu lalu/Foto Rastwin

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Stadium Hoki Bukit Jalil dibanjiri lebih 13,000 peminat muzik yang hadir menyaksikan Konsert Jiwa Kacau 3.0 pada Sabtu lalu.

Konsert selama hampir empat jam tanpa henti itu menampilkan gandingan mantap artis serumpun Malaysia dan Indonesia.

Konsert bermula seawal pukul 8 malam itu menyaksikan tujuh artis dari dua negara bergilir-gilir mengambil alih pentas dengan 33 buah lagu.

Persembahan pembukaan dengan kumpulan The Lantis dari Indonesia menerusi lagu Lampu Merah, disusuli penampilan bertenaga daripada Hujan, lengkap dengan percikan bunga api yang menyemarakkan suasana.

Sorakan semakin hangat apabila Spider mendendangkan tujuh lagu popular termasuk Cinta Dewa Dewi dan Aladin, sebelum kemunculan mengejut pelakon dan penyanyi Fattah Amin mengundang jeritan ‘histeria’ apabila menyampaikan lagu Tapi Bukan Aku.

Turut mencuri perhatian, kehadiran penyanyi Amira Othman dalam kalangan penonton yang turut sama menikmati persembahan pada malam itu.

Konsert diteruskan dengan Kerispatih dari Indonesia dengan mendendangkan lima lagu termasuk single baharu Terbaik Untukmu, diikuti kemunculan Bunkface yang menggamatkan stadium dengan rangkaian lagu punk rock mereka.

Penutup acara menyaksikan persembahan penuh bertenaga daripada Wali Band, yang membawakan lagu Cari Berkah, Si Udin Bertanya, Yank dan Cari Jodoh.

Persembahan penutup daripada Wali Band itu membuatkan penonton berdiri menyanyi dan menari hingga ke akhir konsert.

Penganjuran Konsert Jiwa Kacau 3.0 membuktikan kerjasama erat antara artis serumpun terus relevan dan mendapat sambutan hangat, seiring cita rasa peminat muzik dari pelbagai generasi.

GRACE AISYAH KEDAYAN