KUALA LUMPUR, 30 Jun - Lebih 5,000 peminat membanjiri Mega Star Arena pada Sabtu lalu bagi menyaksikan Konsert Rampas Kuala Lumpur oleh kumpulan popular tanah air, Akim & The Majistret.
Konsert berskala besar itu dibahagikan kepada empat segmen utama, mengetengahkan susunan pementasan tersusun dengan naratif serta emosi yang kuat, merangkumi pelbagai elemen muzik.
Persembahan dimulakan dengan lagu Terlalu Mudah, diikuti Anugerah, Sisaku dan Gasoline, yang membangkitkan suasana introspektif dan menyentuh perasaan penonton.
Segmen seterusnya menampilkan mood yang lebih romantik dan ringan menerusi “Inilah Cinta”, disusuli “Quicksand” dan “Selamanya” yang memperlihatkan sisi cinta mendalam dan matang.
Menuju ke segmen klimaks, penonton dibawa menyelami sisi puitis dan tenang melalui “Ladida”, “Cinta”, dan “Warkah Bunga”, sebelum dibawa ke atmosfera lebih intens menerusi “Sengaja”, “Mewangi”, dan “Saksama”.
Manakala segmen akhir konsert menampilkan Obses, Potret serta lagu utama mereka, Rampas, yang ditutup dengan gimik dramatik ‘blackout’.