KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kumpulan rock tersohor KOTAK bakal meraikan ulang tahun ke-21 mereka dengan konsert istimewa Road to 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna di ibu negara pada 21 September depan.
KOTAK yang dianggotai Tantri Syalindri Ichlasari, Swasti Sabdastantri dan Mario Marcella telah lebih dua dekad mengukir pelbagai kejayaan dalam industri muzik Indonesia.
Tantri turut meluahkan keterujaannya untuk kembali bertemu peminat di Kuala Lumpur.
"Kalian hanya perlu tahu bahawa KOTAK dan Arda tidak sabar menjayakan Road to 21st Anniversary KOTAK x Arda Hatna di Kuala Lumpur.
"Persembahan ini berbeza daripada konsert sebelum ini kerana ia bukan sahaja meraikan ulang tahun Kotak, tetapi ia juga menjadi momen yang sangat bermakna apabila saya bakal berkongsi pentas bersama suami tercinta di hadapan peminat kami," katanya.
Persembahan tersebut juga dianggap jauh daripada biasa, dengan kehadiran istimewa penyanyi legenda Arda Hatna — suami kepada Tantri dan vokalis kumpulan Naff — yang terkenal dengan lagu hit seperti Terendap Laraku, Kau Masih Kekasihku dan Akhirnya Ku Menemukanmu.
Peminat lagu 'Pelan-Pelan Saja' bakal diimbau kembali ke detik awal penubuhan KOTAK pada 2004, sambil menghayati karya 'Masih Cinta'.
Sementara itu wakil dari Boomset Planning Syira Yusof berkata, konsert yang dibawakan GemaWave itu dilihat sebagai platform muzik rentas genre yang meraikan industri seni suara Asia Tenggara.
"Ini bukan sekadar konsert, ia adalah penghormatan kepada era muzik yang membentuk ramai daripada kita. Kami mahu bawa semangat itu kembali hidup dalam suasana intim dan penuh bermakna.
"GemaWave merupakan satu platform hiburan, dan konsert KOTAK x Arda Hatna menjadi pilihan pertama kami untuk menganjurkannya. Ia akan menjadi sebuah momen luar biasa yang tidak akan dilupakan peminat," katanya.
Tiket konsert berkenaan dijual secara dalam talian pada harga RM198 hingga RM3,888.