KUALA LUMPUR, 7 Julai- Kumpulan legenda Indonesia, Dadali, memukau lebih 1,600 peminat pada konsert sulung mereka di Malaysia, Sabtu lalu.
Konsert 'Dadali - Sebuah Kisah Volume 1' menghiburkan peminat dengan 18 lagu yang dipersembahkan sepanjang konsert hampir dua jam tersebut.
Tirai pentas dibuka dengan tayangan montaj perjalanan seni Dadali, sebelum vokalis Dyrga muncul bersama-sama ahli lain, iaitu Boim (gitar), Rickarjd (gitar melodi), Dendi (keyboard), Hendi (bes), dan Obot (dram), membuka persembahan dengan dua lagu penuh emosi Di Saat Sendiri dan Cinta Jangan Kau Pergi.
Malam itu Dyrga tampil berbusana songket lengkap dan membawakan Dikir Rambong dalam dialek Kelantan bersama-sama kumpulan dikir barat BaiZam Generation, mengimbau kenangan manis persembahannya ketika menyertai sebuah pertandingan di Malaysia baru-baru ini.
Konsert diteruskan dengan lagu-lagu galau seperti Aku Telah Berdua, Sakit Teramat Sakit, Kasih Sayangilah Aku dan Disaat Patah Hati.
Bintang undangan Ronnie Hussein turut membawakan lagu Hanya Aku dan Harapan. Kemudian Dyrga menyanyikan lagu Aishiteru nyanyian asal Zivilia Band dalam versi lebih bertenaga.
Seterusnya kedua-dua penyanyi tersebut berpadu suara menerusi lagu Di Saat Aku Mencintaimu.
Babak akhir konsert, penonton dipersembahkan dengan lagu Cinta Yang Tersakiti, Di Saat Aku Tersakiti dan Mungkin Pilihan Terbaik.
Mengakhiri konsert, Dyrga menyanyikan lagu terbaharunya berjudul Sebuah Kisah yang dilancarkan awal tahun ini.
Konsert anjuran Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media dan BIZCreations itu turut mendapat sokongan Tourism Malaysia bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang membuka ruang kerjasama budaya lebih erat antara Malaysia dan Indonesia.