KUALA LUMPUR, 6 Julai - Konsert kemuncak Suara 34 yang berlangsung malam tadi menutup tirai sambutan suara ikonik Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan penuh gemilang dan sarat emosi.
Acara yang diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media itu menyaksikan penyatuan rakyat Malaysia menerusi irama dan suara yang merentasi pelbagai generasi.
Pengarah Bahagian Program Radio RTM Saifuzzaman Yusop menyifatkan konsert itu sebagai satu "grand finale" yang berjaya mencapai matlamat penganjuran, meraikan kejayaan 34 stesen radio RTM serta mengangkat martabat penyampai dan produk tempatan ke tahap lebih tinggi.
"Alhamdulillah, tahniah kepada semua pihak yang menjayakan Konsert Suara 34 ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga RTM, para pendengar radio RTM dan penonton TV RTM yang terus menyokong," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran itu bukan sekadar penutup kepada siri jelajah enam zon sejak Januari 2024, tetapi menjadi titik tolak mengangkat jenama RTM dan produk muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.
"Kita akan terus angkat semua produk tempatan, termasuk album dan bakat tempatan ke mata dunia. Konsert ini juga membuktikan potensi penyampai radio RTM untuk dikenali dan dipasarkan secara lebih meluas," katanya lagi.
Konsert yang disiarkan secara langsung di TV2 dan platform RTM Klik itu menyaksikan gabungan mantap penyanyi veteren dan baharu diiringi 34 pemuzik Orkestra RTM.
Gabungannya menghasilkan persembahan pelbagai genre yang mencerminkan warna-warni suara rakyat Malaysia.
Suara 34 merupakan kesinambungan program mingguan yang disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad di semua stesen radio RTM dan menjadi platform penting dalam memupuk semangat perpaduan serta menyemarakkan industri muzik tempatan.
Konsert tersebut bukan sahaja menandakan kejayaan penganjuran, tetapi juga memperkukuh komitmen RTM sebagai pemacu utama siaran awam yang relevan, segar dan menyatukan suara rakyat dari seluruh negara.