LIPIS, 4 Ogos- Penganjuran Konsert Orang Kita 2.0 Ma Igah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Pos Betau, Lipis yang diadakan malam tadi berjalan lancar dan meriah meskipun berlangsung dalam keadaan cuaca hujan.
Rata-rata orang ramai memenuhi pekarangan padang SMK berkenaan sekitar pada pukul 6.30 petang tadi bagi menyaksikan konsert yang dipersembahkan artis-artis tempatan dengan persembahan 16 buah lagu.
Pembukaan konsert tersebut dimulakan dengan persembahan nyanyian oleh adik Amir Sasi, yang mendendangkan lagu popularnya bertajuk 'Ayah dan Ibu' dan 'Orang Yang Salah'.
Persembahan diteruskan dengan nyanyian oleh Agek Seneroi yang menyanyikan lagu-lagu rakyat orang asli.
Seterusnya ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris menyanyikan dua buah lagu, disusuli persembahan nyanyian oleh Amir Ukays dan Haiza.
Manakala Zamani yang paling dinantikan penonton menyanyikan tiga buah lagu popularnya bersama Slam, antaranya 'Gerimis Mengundang', 'Nur Kasih' dan 'Kembali Merindu'.
Konsert itu turut diserikan lagi dengan kehadiran pengacara jemputan, Bell Ngasri dan Fiza Frizzy.
Turut hadir menyaksikan konsert tersebut ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ajis Sitin, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik, Nasaruddin Abdul Muthalib dan Pengarah Program Radio, Saifuzzaman Yusop.