fb fb fb fb fb

Jenazah Jay Jay selamat dikebumikan

Jenazah Jay Jay dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang

SUBANG JAYA, 5 Ogos- Jenazah penyanyi legenda negara Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang pada 11.15 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Al-Husna Bandar Sunway untuk dimandikan dan dikafankan.

Anak Allahyarham, Kamilia Mohd Fauzi menyifatkan bapanya sangat penyayang dan mementingkan keluarga.

"Bagi saya dan adik beradik saya dia adalah seorang bapa yang sempurna, di atas pentas sebagai artis itulah pesona dia untuk peminatnya, dalam kalangan keluarga dan kawan-kawan dia adalah MOhd Fauzi,"katanya.

Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan kira-kira pukul 10.50 pagi untuk dikebumikan.

Selain dihadiri ahli keluarga, saudara, kenalan dan rakan-rakan artis juga turut sama hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

"Saya merasa sangat sedih, saya menantikan dia akan kembali aktif selepas dia jatuh sakit dan jalani pemulihan. Ketika kali terakhir saya jumpa, dia telah menerima segala takdir yang menimpanya,"kata Datuk M.Nasir.

"Arwah sangat teliti tentang apa yang akan dilahirkan dalam setiap lagu dan sejujurnya lagu-lagu dalam album saya ini adalah lagu-lagu yang sangt baik sangat hebat.

"Saya sangat suka dengan Jay Jay, dia sangat terbuka, lirik-lirik lagu yang diberi kepada saya kebanyakannya ke arah keagamaan,"kata Datuk Nash.

"Kita kehilangan seorang insan yang sangat baik, dia terlampau baik dan saya banyak buat kerja dengan dia, saya kehilangan seorang kawan, abang senior yang sangat baik,"kata Datuk Hattan.

Pada 23 Mei lepas, Allahyarham selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dua hari dimasukkan ke pusat perubatan itu akibat serangan jantung ringan dan sesak nafas.

Popular dengan lagu antaranya Rindu Bayangan, pemuzik itu pernah memenangi beberapa anugerah seperti Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) 1988, Vokal Terbaik Lelaki Anugerah Industri Muzik1998 dan Juara Kategori Pop Rock pada Juara Lagu 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE