KUALA LUMPUR, 27 Jun- Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don, Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana, Salammusik serta artis Indonesia, Nosstress akan bersatu di atas pentas menerusi Konsert Muzik Kita! pada 2 Ogos depan.
Konsert yang bertempat di MAEPS Serdang itu merupakan usaha mengetengahkan semula nama-nama besar muzik (underground) dari era 90-an hingga kini yang punya peminatnya tersendiri.
Menurut CEO Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus (Aril Pilus), konsert yang berkonsepkan ‘timeline’ itu akan menghiburkan peminat pada malam tersebut dari Generasi X ke Generasi Alpha.
"Walaupun mereka bukan nama arus perdana, pengaruh mereka besar dan ada yang berjaya hingga ke luar negara.
"Kami mahu generasi baharu menghargai legasi lama, dan generasi lama pula terbuka menerima gaya muzik baru. Dulu orang dengar muzik bawah tanah secara energetik, sekarang generasi healing. Tapi akhirnya, muzik tetap tempat kita kembali," katanya.
Menurut Butterfingers, konsert berkenaan akan membuai nostalgia pendengar dengan lagu-lagu popular sekitar tahun 1996 hingga 1999.
"Ramai yang minta lagu-lagu awal Butterfingers seperti 1.2 Miligrams (1996), Butter Worth Pushful (1997) dan Transcendes (1999). Lagu-lagu ini akan menghiburkan penonton pada malam itu, dan Butterfingers akan menutup konsert," katanya.
Sementara itu Loque yang mewakili Monoloque berkata, peminat bakal dihiburkan dengan lagu-lagu kegemaran ramai yang pernah menjadi siulan.
"Untuk Monoloque pula, saya akan bawa lagu kegemaran peminat serta lagu baharu. Saya juga bercadang jemput Atilia dan Herman Tino sebagai artis undangan. Monoloque akan jadi pembuka tirai," kata Loque.
Bagi Fimie Don pula, dia teruja dan tidak sabar bertemu peminat pada konsert berkenaan.
"Saya serius mahu dikenali sebagai penyanyi dan pentas ini peluang besar. Tambahan pula dapat sepentas dengan Loque, mentor dan sumber inspirasi saya," kata Fimie.
Harga tiket Konsert Muzik Kita! dijual pada harga RM75 hingga lebih RM300 dan boleh didapati secara dalam talian.