fb fb fb fb fb

Konsert 'WE 4U2C' saji nostalgia 90-an

Ketua kumpulan hip hop legenda era 1990-an, 4U2C, Datuk AC Mizal ketika sidang media konsert istimewa 'WE 4U2C Live in Concert' di Bukit Bintang. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kumpulan rap legenda 4U2C bakal kembali ke pentas utama menerusi konsert eksklusif WE 4U2C pada 15 September ini di Idea Live Arena, Petaling Jaya, selepas hampir tiga dekad menyepi.

Bertemakan 'Bringin’ Back Da 90’s Flava', konsert ini dijangka mengubat rindu peminat dan mencetuskan fenomena baharu menerusi gabungan persembahan muzik dan visual moden yang memaparkan perjalanan seni mereka.

Menurut anggota kumpulan, Datuk AC Mizal, konsert ini merupakan impiannya sejak dahulu dan tercetus daripada idea isterinya, Datin Emylia Rosnaida, sebelum direalisasikan oleh penganjur Juss Event Sdn. Bhd.

“Konsert ini sudah menjadi salah satu impian saya dari dulu lagi, idea tercetus oleh isteri saya sendiri dan kemudian pihak Juss Event menawarkan tawaran. Saya bersyukur sangat peluang ini datang pada masa yang tepat.

“Saya dan ahli kumpulan lain janji akan memberikan persembahan yang terbaik buat mereka yang hadir pada malam konsert itu nanti," katanya.

Selain menjadikan konsert sebagai platform ‘comeback’, AC menegaskan 4U2C tidak sekadar mahu mencipta sejarah, sebaliknya ingin menjadi 'trendsetter' kepada artis-artis lain di negara ini.

“Kami bukan nak cipta sejarah baharu, sebaliknya objektif kami adalah untuk jadi 'trendsetter' dengan kembalikan sejarah dahulu.

“Kumpulan 4U2C adalah kumpulan pertama yang tampil berbeza dengan menyanyi sambil menari, jadi untuk konsert kali ini juga kami akan lakukan perkara sama," katanya lagi.

Konsert ini turut menjadi pentas untuk pelancaran tiga lagu baharu kumpulan itu, satu berentak balada dan dua lagi bersifat rancak sejajar dengan citarasa muzik masa kini.

“Kami mahu tunjuk sisi baharu kami buat pendengar zaman sekarang. Lagu ini juga saya harapkan boleh dinyanyikan bersama-sama peminat sewaktu 4U2C buat persembahan nanti,” ujarnya.

Selain AC, anggota 4U2C terdiri daripada Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam. Konsert turut mendapat sentuhan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito, bersama barisan pemuzik profesional.

Tiket mula dijual 30 Jun ini melalui platform Ticket Empire dan Fantopia dengan harga bermula RM155 hingga RM555 untuk tingkat bawah, manakala RM255 hingga RM505 untuk tingkat atas.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI