fb fb fb fb fb

Konsert Jiwa Malaysia ekspresi anak muda cinta negara

Konsert Jiwa Malaysia akan diadakan pada 7 September

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Konsert Jiwa Malaysia yang akan berlangsung pada 7 September ini diharap menjadi medan bagi golongan muda untuk menzahirkan rasa cinta mereka terhadap tanah air melalui pelbagai persembahan muzik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia Iliyas Jamil berkata, pihaknya tampil sebagai penganjur bersama konsert tersebut sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada negara sempena Bulan Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia.

“Perbadanan Stadium Malaysia menguruskan beberapa premis seperti Axiata Arena, Stadium Nasional dan Stadium Hoki Nasional yang menyediakan tempat kepada pelbagai acara penganjuran konsert setiap tahun.

“Selama ini kita hanya menyediakan tempat tapi kali ini kita lebih daripada itu iaitu sebagai penganjur dengan hasrat memberi hadiah kepada rakyat Malaysia melalui penganjuran konsert yang bersesuaian sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Konsert yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini bakal menampilkan kugiran legenda Spider dan band kegemaran ramai seperti Hujan, Ruffedge, Bunkface, Dolla, Insomniacks serta penyanyi dari Sabah Bella Astillah.

Iliyas berkata, pihaknya menyasarkan seramai 15,000 penonton terdiri daripada pelbagai generasi sama ada yang lama mahupun baharu akan menghadiri konsert tersebut.

“Ia (konsert) bukan hiburan kosong sebaliknya penuh dengan nilai-nilai murni yang mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui beberapa persembahan muzik yang berunsurkan kenegaraan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi kumpulan Spider Rustam Mustafah atau lebih dikenali sebagai Tam berkata, pemilihan lagu bagi konsert itu masih di peringkat awal dan kemungkinan tujuh atau lapan buah lagu akan dinyanyikan.

“Selain lagu hit Spider, kami juga akan bawa (nyanyi) lagu-lagu solid Melayu yang boleh menaikkan semangat patriotisme generasi muda,” katanya.

Pengunjung yang berminat untuk menyaksikan konsert itu boleh mendapatkan tiket menerusi pembelian di https://ilassotickets.com, dengan ganjaran harga untuk pelanggan awal (early bird) serendah RM50. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF