fb fb fb fb fb

Bintang P.Ramlee 2024: Mohamad Faqhrul, Nurul Fatihah juara Zon Utara

Mohamad Faqhrul Azhar dan Nurul Fatihah Mohd Nazri beraksi di pentas akhir Bintang P. Ramlee 2024 Zon Utara

IPOH, 10 Ogos- Lagu 'Jangan Tinggal Daku' dan 'Gelora' membawa tuah kepada peserta dari Perak iaitu Mohamad Faqhrul Azhar Mohamad Zabandi dan Nurul Fatihah Mohd Nazri dari Kedah.

Mereka dinobat sebagai juara pertandingan Bintang P. Ramlee 2024 Zon Utara bagi kategori lelaki (P.Ramlee) dan wanita (Saloma) yang berlangsung di Auditorium Perak FM di sini hari ini. 

Kemenangan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Zon Utara untuk berentap ke peringkat kebangsaan di Kuching, Sarawak, November depan.

"Bersyukur sangat. Ini kali pertama saya sampai ke final peringkat kebangsaan setelah saya cuba dari tahun 2016, 2018, 2022 dan akhirnya saya dapat juga pergi ke final di Kuching nanti," ujar Mohamad Faqhrul, 39 tahun.

"(Di Kuching) nanti mesti akan jumpa peserta yang betul-betul hebat. Jadi saya minta doa dan sokongan semua... semoga saya menang lagi di sana, Insya-Allah. Saya juga yakin dekat luar sana masih banyak lagi bakat-bakat belum dicungkil, yang mungkin betul-betul 'pure' Saloma dan P.Ramlee," ujar Nurul Fatihah, 27 tahun.

Selaku juara, Mohamad Faqhrul dan Noor Nurul Fatihah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM 2,000 dan piala.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop. 

1008 PRK BINTANG P.RAMLEE UTARA 2
Mohamad Faqhrul Azhar dan Nurul Fatihah Mohd Nazri

SITI AISHAH MD ISA