fb fb fb fb fb

Konsert GENKRU dianjur tiga hari, cipta sejarah hiburan

Datuk Norman, Edry (tengah) dan Datuk Yusry (kiri)

KUALA LUMPUR, 4 Januari- Konsert GENKRU dilanjutkan kepada tiga hari sekali gus mencipta sejarah tersendiri trio adik beradik Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abd Halim selain mencipta sejarah industri hiburan tempatan.

Konsert tiga hari berkenaan memberi gambaran bahawa KRU atau Kumpulan Rap Unggul itu mempunyai peminat setia luar biasa.

Menurut Norman, pada awal penjualan tiket, ia habis dijual kira-kira 45 minit.

"..dan kami rasa ini sebagai satu tanggungjawab kami untuk buat persembahan untuk mereka. Saya percaya ini adalah waktu mereka dan ini tidak hanya berkenaan KRU, ini adalah disebabkan peminat," kata Norman.

Sementara itu Yusry menyifatkan konsert berkenaan akan membawa kenangan peminat era 90-an yang membesar dengan lagu-lagu KRU.

"Kami bernasib baik kami kerana kami dari era 90-an dan kebanyakan peminat kami stabil dari segi kewangan dan kehidupan.

"Jadi konsert ini akan mengimbau kenangan era 90-an supaya mereka boleh menikmati konsert ini dengan rangkaian lagu yang pernah menjadi siulan ramai dan membawa memori tahun itu," katanya.

Bagi Edry, beliau berpendapat konsert itu akan membawa semangat era 90-an dan penampilan pada konsert berkenaan akan berkonsepkan era tersebut.

"Kita cuba untuk buat seperti era 90-an, termasuk cara berpakaian dan penampilan. Kami juga akan tampil dengan era 90-an kerana itulah magis yang akan diketengahkan," kata Edry.

Penganjuran Konsert GENKRU di Axiata Arena bakal berlangsung pada 3, 4 dan 10 Mei depan menyaksikan penampilan sulung KRU selepas enam tahun tanpa konsert berskala besar.

Tiket konsert berkenaan boleh dibeli secara dalam talian bermulal RM258 hingga RM588.

Prajualan tiket akan dibuka pada 7 Januari dari pukul 11 pagi manakala tiket untuk umum akan mula dijual pada 8 Januari pukul 3.00 petang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI