fb fb fb fb fb

Program Rewang Zapin UKM meriah

FOTO UKM

BANGI, 6 Januari- Seramai 286 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah dari enam buah negeri serta pelajar universiti menyertai Program Rewang Zapin anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penganjuran julung kalinya itu bukan hanya menghidupkan semula seni zapin sebagai simbol jati diri bangsa, tetapi juga menghubungkannya dengan aspirasi moden.

Ketua pengarah program, Irsyad Hazim berkata tarian zapin yang semakin mendapat tempat di hati bangsa lain itu berupaya menyatupadukan rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa.

"Elemen yang utama adalah perpaduan pada masa sama tiada diskriminasi terhadap satu sama lain tidak kira kaum Cina, Melayu ataupun tua muda sekali dalam tarian zapin ini.

"Konsep rewang ini dibawa dari Johor, negeri lain ada tapi jarang," katanya.

Tambah beliau, program itu juga menyatukan 15 tokoh seni zapin, pewaris budaya, dan komuniti pencinta seni dari seluruh negara dalam usaha memelihara seni tarian itu sebagai khazanah bangsa.

Peserta yang terlibat juga merancang untuk terus mempelajari tarian tradisional Melayu itu pada masa akan datang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE