KUALA LUMPUR, 28 Julai- KLP48, kumpulan baharu yang berpangkalan di Kuala Lumpur diumumkan sebagai generasi pertama kumpulan idola Jepun AKB48.
Dianggotai 13 individu, ia termasuk tujuh rakyat Malaysia, empat Jepun dan masing-masing seorang Indonesia serta Hong Kong.
Pengarah 48 Entertainment Sdn Bhd, Yip Chun Huei yang diberi tanggungjawab menguruskan KLP48 berkata AKB48 dan kumpulan saudaranya telah lama mendapat sokongan meluas peminat di Malaysia.
"Kami berharap peminat akan terus memberikan sokongan padu mereka kepada KLP48 juga.
"Dengan beberapa perancangan menarik yang diatur, ahli telah bekerja keras untuk mempamerkan yang terbaik, jadi nantikan apa yang akan dipersembahkan nanti," katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Superball Inc. dan Penerbit Am kumpulan saudara AKB48 di luar negara, Nariaki Terada berkongsi kegembiraannya mengenai pengumuman itu.
"Menyambut dan meraikan ahli generasi pertama KLP48 adalah detik mendebarkan yang menggariskan daya tarikan global AKB48 dan kumpulan saudaranya.
"Kami tidak sabar untuk menyaksikan KLP48 memulakan perjalanan pertama mereka untuk menjadi tumpuan ramai," katanya.
KLP48 bukan sahaja tambahan terbaharu kepada empayar AKB48, tetapi juga kumpulan idola gadis pertama seumpamanya yang ditubuhkan dan berpangkalan di Malaysia dengan tumpuan di pentas antarabangsa.
KLP48 ialah kumpulan legasi AKB48 yang ke-10 di luar negara, bersama JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila), AKB48 Team SH (Shanghai), AKB48 Team TP (Taipei) dan CGM48 (Chiang Mai).
Pada 18 Ogos, KLP48 akan menyertai AKB48, STU48, JKT48 dan QUADLIPS di konsert AKB48 Group Live in KL 2024 ~ First Cry ~.