LOS ANGELES, 13 Mac - Pengarah terkenal kelahiran Poland, Roman Polanski yang meninggalkan Amerika Syarikat selama lebih empat dekad lalu selepas didakwa terlibat dalam serangan seksual kanak-kanak akan menghadapi perbicaraan sivil terhadap dakwaan merogol seorang wanita pada tahun 70-an, kata peguam bela wanita tersebut.
Kes terhadap pengarah "The Pianist" itu akan dibicarakan di Los Angeles pada Ogos 2025, kata Gloria Allred, seorang peguam Hollywood yang pernah mewakili mangsa rogol Harvey Weinstein dan orang lain yang muncul dalam era #MeToo.
Meskipun Polanski tidak boleh dipaksa untuk menghadiri perbicaraan, namun Allred berkata perbicaraan itu bakal menjadi peluang untuk anak guamnya yang dinamakan dalam saman itu sebagai Jane Doe, untuk mendapatkan keadilan atas dakwaan serangan itu pada 1973.
Saman itu, yang difailkan tahun lalu, mendakwa Polanski membawa remaja itu makan malam pada 1973 di sebuah restoran di Los Angeles.
Polanski didakwa memberi wanita tersebut tequila, dan apabila wanita berkenaan mula berasa pening, membawanya ke rumahnya di Benedict Canyon tony, di mana dia memaksa dan melakukan kekerasan secara seksual terhadap wanita berkenaan.
Allred turut memberitahu tindakan Polanski itu menyebabkan wanita yang hanya dikenali sebagai Robin berada dalam kesakitan fizikal, emosi dan penderitaan yang luar biasa.
Pada penghujung 1970-an, Polanski melarikan diri dari AS sementara menunggu hukuman untuk serangan terhadap Samantha Geimer, seorang remaja berusia 13 tahun yang dibius dan dirogolnya.
Polanski, yang turut mengarahkan "Rosemary's Baby" dan "Chinatown," kini menghadapi perbicaraan fitnah di Perancis oleh pelakon Britain Charlotte Lewis, yang mendakwa dia diserang Polanski pada 1983, ketika berusia 16 tahun.- AFP