fb fb fb fb fb

KARYAWAN santuni penduduk terjejas banjir di Kelantan

Foto Fail

PASIR MAS, 26 Disember- Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) turun padang menyantuni penduduk terjejas banjir di dua daerah di Kelantan dengan menyampaikan sumbangan barangan bernilai RM60,000 kepada 300 penerima.

Program tersebut dilaksana dengan kerjasama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) setempat.

Timbalan Presiden KARYAWAN, Radhi Khalid berkata, sumbangan itu adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Misi Bantuan Banjir KARYAWAN selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu.

"Artis boleh membantu secara fizikal, kita juga manusia. Selain daripada itu, tuhan bagi dekat kita darah seni, bakat, kita boleh memberi semangat, sumbangan jiwa daripada dalaman motivasi", katanya dalam sidang media selepas Program Misi Bantuan Banjir Karyawan Bersama YAPEIM di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2, di Pasir Mas.

Radhi berkata, program sepanjang tiga hari itu turut menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Mawi, Ezlynn, Ito Blues Gang, Serina Redzuawan, Noorshila Amin, Zur Eda dan Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez.

Kehadiran semua artis ini bukan sahaja membawa senyuman kepada mereka yang terjejas, ia juga menjadi bukti solidariti dan komitmen komuniti seni terhadap usaha membantu masyarakat yang memerlukan.

Katanya, CSR akan terus dijalankan daripada semasa ke semasa sebagai bukti keprihatinan KARYAWAN terhadap mereka yang memerlukan.

ROSLINA BINTI DIN