KUALA LUMPUR, 18 september- Golongan karyawan dan penggiat seni menyambut baik pengumuman penubuhan Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik sebagaimana yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Inisiatif ini diharap mampu menangani pelbagai isu terutamanya nasib mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, penubuhan tersebut diharap mampu membina jawatankuasa khas yang khusus kepada pemain industri kreatif dari segi jaminan undang-undang.
(Presiden SENIMAN, Zed Zaidi)
"Akta ini berperanan untuk melindungi pekerja-pekerja seni dari terus ditindas dalam apa perkara yang melibatkan pekerjaan mereka.
"Apa yang saya harapkan pelantikan ahli jawatankuasa dalam kalangan majlis ini perlu diteliti dengan baik supaya pelantikan itu pelantikan yang munasabah.
"Juga mereka berperanan melalui pengalaman kepakaran mereka untuk membantu dalam majlis ini untuk memberi pandangan yang lebih baik supaya boleh memberikan satu anjakan paradigma dan mengangkat seni kreatif Malaysia dan industri muzik Malaysia ke tahap yang lebih baik dalam negara dan di peringkat antarabangsa", katanya.
Dalam pada itu, Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid pula berpendapat sudah tiba masanya jawatankuasa khas ini menyediakan garis panduan yang lebih jelas untuk membolehkan penggiat seni meneruskan kelangsungan hidup dalam industri dan langkah memperkasakan industri kreatif tempatan dapat diteruskan di bawah majlis tersebut.
"Dalam keadaan industri muzik yang sedang rancak selepas Covid-19 jadi kami penggiat seni amat memerlukan satu suntikan atau dorongan dari pihak kerajaan untuk kami terus berkarya.
"Diharap majlis dan AJK yang dilantik ini dapat memandang isu-isu yang banyak tergantung atau tersekat semasa Covid-19 ini. Insyaallah saya berharap dengan adanya majlis yang ditubuhkan oleh Tan Sri ini industri muzik dan filem kita akan pergi jauh", katanya.
Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik akan dipengerusikan ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan akan dianggotai 20 penggiat seni.
Ia berfungsi sebagai platform memberikan pandangan kepada kerajaan dan pemain industri bagi membantu memajukan industri kreatif dari aspek sumbangan dalam ekonomi serta peluang pekerjaan, terutama kepada belia.