KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pelakon popular Jack Tan dan Nabila Razali bergandingan membintangi siri drama mini tujuh episod berjudul Senyuman, yang mula ditayangkan 7 Ogos lalu di semua platform media sosial rasmi McDonald’s Malaysia.
Drama tersebut merupakan kesinambungan daripada koleksi mini drama terdahulu dan menampilkan kisah menyentuh hati dalam pelbagai bahasa, selain memaparkan momen yang menyatukan rakyat Malaysia.
Menurut Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Chin Mei Lee, Senyuman menggambarkan semangat “feel-good” jenama itu dengan penceritaan yang menghangatkan jiwa, dekat di hati dan penuh makna.
“Pada masa sama, kami terus memudahkan pengalaman pelanggan melalui aplikasi agar mereka dapat menikmati hidangan kegemaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.
Kisah Senyuman mengangkat watak Ming lakonan Jack Tan, seorang pemuda pendiam yang sudah lama tidak tersenyum. Kehadiran rakan sekerja bernama June, dilakonkan Nabila Razali, menjadi titik perubahan apabila dia mengajaknya makan malam, dengan sepinggan kentang goreng menjadi permulaan hubungan yang mengubat kesepian Ming.
Bagi Jack Tan, watak Ming memberi peluang untuk memaparkan sisi rapuh manusia yang jarang ditonjolkan.
“Saya tertarik dengan kesunyian Ming yang dekat dengan realiti ramai orang. Menghidupkan watak ini bukan mudah, tetapi saya berusaha menyampaikannya sebaik mungkin,” jelasnya.
Sementara itu, Nabila Razali yang membuat penampilan sulung dalam siri mini drama mengakui teruja membawakan watak June yang menceriakan hari-hari Ming.
“Senyuman lebih mudah diterima dan menyentuh perasaan. Saya seronok menjadi ‘sinar’ dalam hidup Ming sambil bergurau di set penggambaran,” katanya.