KUALA LUMPUR, 10 Ogos - Empat kategori baharu diperkenalkan pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), bagi mengiktiraf kepelbagaian dan kualiti karya seni muzik tempatan.
Pengerusinya, Rosmin Hashim memaklumkan kategori berkenaan ialah Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Komposer Luar Negara Terbaik, dan Kugiran Terbaik.
“Daripada empat kategori ini, MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemenang yang menghasilkan single baharu dalam dua kategori iaitu Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Perpaduan Terbaik,” katanya.
Beliau di temui media selepas siaran Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi impak relevan terhadap perkembangan muzik tempatan, sekali gus menggalakkan penggiat menghasilkan karya berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Sebanyak 27 kategori dipertandingkan pada AIM24 dengan penilaian melibatkan 132 juri profesional. Setiap kategori diadili tujuh hingga sembilan juri, dengan pemarkahan 100 peratus berdasarkan penilaian pakar industri muzik tanpa elemen populariti.
“Fokus AIM adalah mengiktiraf kualiti hasil kerja, bukan sekadar populariti,” jelasnya.